Wednesday 5 March 2014

Insurans Yang Diharamkan

Adakah Insurans Haram?

Menurut hukum syarak, ulama' bersependapat bahawa kedua-dua jenis perniagaan insurans nyawa dan am adalah tidak menepati landasan syariah. Ini ialah kerana polisi insurans adalah kontrak atau akad jual beli.

Apabila berlaku transaksi, pembeli adalah pemegang polisi yang dikehendaki membayar wang premium kepada syarikat insurans yang menjual polisi insurans di mana syarikat menyediakan faedah perlindungan sama ada untuk diri sendiri (nyawa) atau harta benda pemegang polisi itu sendiri.

Jual beli dalam Islam mempunyai rukun tertentu yang mana jika salah satu rukun itu tidak dipenuhi, maka akad jual beli dikira tidak sempurna dan boleh membatalkan akad tersebut.

Dalam kontrak jual beli insurans, salah satu rukun yang tidak sempurna ialah yang berkaitan dengan ma'qud'alaih (apa yang diakadkan) iaitu apa yang dibeli atau dijual, mestilah jelas dan tidak mengandungi unsur 'gharar', Jika rukun ini tidak dipenuhi, maka akad jual beli menjadi cacat.

Gharar adalah dilarang sama sekali oleh Rasulullah SAW di dalam sabda baginda yang bermaksud:

"Rasulullah SAW melarang jual beli secara baling batu (al-hasah) dan jual beli barang yang tidak pasti (al-gharar) - Riwayat Muslim

Ulama' juga menjelaskan maksud Gharar dalam salah satu daripada 2 keadaan berikut:

1. Tiada barang yang dijual beli (akad jual beli tanpa barang)

2. Ada barang tetapi tidak boleh diserah kepada pembeli

3. Ada barang dan ia boleh diserahkan kepada pembeli tetapi ia tidak dapat ditentukan atau tidak jelas sama ada sifatnya, caranya atau lain-lain.


Ini menunjukkan ada unsur gharar dalam konteks jual beli insurans. Islam menekankan dalam setiap urusan, supaya ada keadilan dan kebaikan dan unsur Gharar menafikan kedua-dua prinsip ini.

No comments:

Post a Comment